Ladies Day 2014

 

16 & 17 Mei 2014akan diadakan sebuah program khusus untuk kaum wanita di seluruh UTM iaitu Ladies Day 2014 bertempat di Dewan Sri Perdana. Terdapat  banyak program-program yang menarik telah disediakan dalam program Ladies Day antaranya suntikan HPV, derma drah,kelas mekap, ceramah kesihatan wanita, ladies night (movie) dan lain-lain lagi. Gerai jualan juga akan dibuka sepanjang program berlangsung.  Antara barang yang akan dijual ialah barangan AVON,pakaian wanita & lelaki, barangan elektronik, gerai makan dan sebagainya. Sekiranya anda mempunyai masa lapang, jangan lupa untuk hadir beramai-ramai ke program Ladies Day ini.

Simposium Muhammadku

Simposium Muhammadku akan diadakan pada tarikh 18 april 2014 bersamaan hari jumaat di Dewan Sultan Iskandar. Program ini akan dijalankan pada pukul 10.30 a.m. sehingga 11 p.m. Warga kolej Perdana dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi majlis yang akan diadakan.

Malam Puncak Perdana 12 #MPPXII

Pada 14 Mac 2014 akan datang akan dilangsungkan Malam Puncak Perdana (MPPXII) ke-12, majlis makan malam tahunan dan penghargaan kepada semua warga Kolej Perdana di atas kejayaan warga kolej dalam menjayakan aktiviti-aktiviti tahunan dalaman mahupun luaran kolej.

Bertemakan “P Ramlee & Saloma Night”, dan mengenakan kaca mata pada majlis tersebut, pihak penganjur iaitu Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Perdana menjanjikan satu kenangan yang indah buat semua hadirin yang hadir pada majlis ini nanti.

MPPXII kali hanya mengenakan bayaran promosi sebanyak RM15 seorang andai tempahan terus terhadap satu meja penuh. Sebarang pertanyaan boleh hubungi saudara Sham (017-5905366) atau saudari Hanis (017-6762373).

Ikuti perkembangan MPPXII dengan hashtag #MPPXII atau di

Facebook group Kolej Perdana:

https://www.facebook.com/groups/119137268152129/

Twitter Kolej Perdana:

@kolejperdana

Festival Integrasi Kolej Perdana (FIESCOPE 2012)

Festival Integrasi Kolej Perdana (FIESCOPE 2012) telah diadakan dengan jayanya pada 27 September 2012 sehingga 30 September 2012 yang bertempat di persekitaran Kolej Perdana, Universiti Teknologi Malaysia.

Program yang berkonsepkan hari terbuka ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan inovasi, sehari bersama kanak-kanak istimewa, program kesukanan, sembang warung, forum perdana, malam kebudayaan dan pelbagai lagi. Program tahunan ini bertujuan untuk memberi penghargaan dan merapatkan ukhwah antara warga Kolej Perdana.

FIESCOPE ’12 lepas dipimpin oleh Saudara Muhammad Zal Aminullah sebagai Pengarah dan gerak kerja program telah bermula semasa puasa lagi. Program-program seperti ini mampu untuk memupuk perpaduan antara kaum selaras dengan laungan 1 Malaysia yang disarankan kerajaan.

Turut hadir pada majlis perasmian program ialah En. Mohammad Khairi Bin A. Malik Setiausaha Politik • SUPOL kepada Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Hj Nordin. Dalam ucapan perasmian beliau, beliau memberikan sokongan penuh terhadap program-program pembangunan insaniah pelajar seperti ini.

 

En Khairi menyempurnakan simbolik perasmian

Page Facebook Fotografi Kolej Perdana

24 April 2012 – Sebuah page Facebook “Fotografi Kolej Perdana” ditubuhkan hasil daripada usaha kreatif mahasiswa Kolej Perdana sendiri. Laman ini menjadi medan baru bagi memaparkan gambar-gambar, kenangan manis yang dirakam di Kolej Perdana dan gambar program-program Kolej Perdana. Mahasiswa dapat memberikan komen dan respons mengenai program-program dan kemajuan Kolej Perdana melalui laman ini.

Laman ini diselia oleh mahasiswa Kolej Perdana sendiri yang rata-rata merupakan jurugambar-jurugambar program kolej dan ini merupakan satu usaha yang baik dalam memartabatkan Kolej Perdana di mata dunia. Sebarang komen, cadangan ataupun persoalan boleh diajukan terus kepada admin page Fotografi Kolej Perdana melalui mesej Facebook. Penyertaan dan sumbangan daripada mahasiswa sendiri amatlah diharapkan.

Fotografi Kolej Perdana - http://www.facebook.com/FotografiKolejPerdana

 

Sesi Dialog Bersama Pengetua

Sesi dialog bersama Tuan Pengetua, PM Ahmad Bin Hj Khalid telah berjalan pada 20 Mei 2012 (Ahad) bermula jam 9.30 malam. Sesi ini dianjurkan bagi mendapatkan reaksi dan pandangan pelajar  mengenai Kolej Perdana. Beberapa isu yang dibincangkan pada malam tersebut termasuk isu pemilihan kuota pengetua, kemudahan asrama, saman dan banyak lagi.

Dalam ucapan Pengetua, beliau menekankan bahawa warga Kolej Perdana perlu bersatu dan dianggap sebagai sebuah keluarga di mana pelajar-pelajar semua menghormati dan menyayangi semua orang dan menjaga segala kemudahan yang disediakan. Pelbagai cadangan bernas disuarakan oleh pelajar bagi kebaikan kolej. Aktiviti yang julung kali diadakan ini dilihat sebagai satu aktiviti yang bagus dan wajar diteruskan pada setiap semester.

Turut hadir sama pada majlis tersebut adalah Tuan Pengetua, PPA Kolej, Felo, Pembantu Felo, Staf Pejabat, Majlis Tertinggi JKM, dan penghuni kolej.

Semai Bakti Felda Ulu Tebrau (SEMAI’12)

Pada 11 hingga 13 Mei 2012, satu program khidmat masyarakat telah diadakan di Felda Ulu Tebrau, Johor. Program yang bertujuan mendekatkan para mahasiswa dengan masyarakat felda ini dijalankan sepenuhnya oleh mahasiswa Kolej Perdana dengan kerjasama Pejabat Kolej Perdana dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Malaysia.

Pada 11 Mei 2012 (Jumaat), program ini dimulakan dengan majlis penyerahan 44 orang anak angkat kepada 18 buah keluarga felda. Majlis ini disempurnakan setibanya peserta daripada UTM pada pukul 3.30 petang. Majlis penyerahan ini disaksikan oleh En. Md Daud bin Ab Majid selaku Pengurus Felda Ulu Tebrau. Selesai majlis penyerahan anak angkat, program diteruskan dengan pertandingan futsal dan bola jaring diantara peserta dan warga felda. Program di malam hari diisi dengan ceramah perdana yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah bin Ahmad dari pejabat agama wilayah.

Untuk hari kedua, program sangat padat pada sebelah pagi dengan tiga perkara dijalankan serentak. Peserta perempuan membantu dalam memasak bagi kenduri sekampung, manakala peserta lelaki mengerahkan tenaga untuk mengecat bangunan, mencari daun pisang dan memacakkan papan doa ziarah kubur. Selain itu, terdapat tiga peserta yang membantu melancarkan ceramah motivasi yang dilakukan di Sekolah Menengah Felda Ulu Tebrau. Ceramah motivasi ini telah disampaikan oleh Saudara Sharvinder Singh.

Selesai tiga-tiga acara tersebut, semua peserta dikehendaki berada di dewan raya pada pukul 2.30 petang untuk raptai majlis perasmian. Selepas itu, pada pukul 5 petang, program semai diteruskan dengan sukaneka. Sukaneka ini di sediakan untuk kanak-kanak dan orang-orang felda. Antara acara yang menarik ialah futsal berkain pelikat. Orang-orang felda sangat seronok dan memberi sokongan. Serentak dengan sukaneka, pihak felda juga ada mengadakan acara senamrobik.

Pada sebelah malam merupakan waktu kemuncak program ini iaitu majlis perasmian dan malam kebudayaan. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yg Bhg. En. Rosli bin Ma’arof selaku Pengarah Felda Taib Andak. Malam kebudayaan ini diserikan dengan tiga persembahan daripada peserta dan dua persembahan daripada orang felda. Majlis ini diselang selikan dengan cabutan bertuah. Majlis in selesai pada pukul 11.00 malam dan kebanyakkan peserta mengambil kesempatan ini untuk beramah mesra dengan keluarga.

13 Mei 2012, merupakan hari terakhir program ini. Pada sebelah pagi, ada dikalangan peserta dibawa masuk ke dalam kebun keluarga angkat mereka. Acara utama pada pagi ini ialah kayuhan sekeliling felda yang diketuai oleh Saudara Syahrin Md Jamaludin. Selesai acara kayuhan, program diteruskan dengan majlis sembang belia siswa di antara Saudara Syahrin dan peserta Kolej Perdana.

Tepat pada pukul 3.00 petang, majlis penutupan dan penyerahan semula anak angkat dimulakan. Majlis ini disempurkan oleh Saudara Syahrin Md Jamaludin selaku Pengerusi Gerakan Belia 4B kawasan Tebrau. Selesai majlis perpisahan yang penuh airmata, para peserta bertolak pulang ke UTM pada pukul 5.00 petang.


Karnival Sukan Rakyat 2012

 

Pada 11 Mei 2012, Kolej Perdana UTM Skudai julung julung kalinya telah mengadakan karnival sukan rakyat. Karnival yang disertai oleh 5 kumpulan dan terdiri daripada 10 orang setiap kumpulan telah dijayakan dengan kerjasama pihak penganjur dan para peserta. Karnival yang dijalankan dalam masa 3 hari (11 Mei-13 Mei 2012) bertujuan untuk mengenang kembali zaman kanak kanak kita dengan permainan tradisional. Antara permainan yang dipertandingkan ialah, baling selipar, lari dalam guni, galah panjang, dan lain lain lagi.


Greenday 2

Program Greenday atau lebih dikenali dengan gotong-royong telah diadakan di sekitar kawasan   Kolej Perdana pada 28 April 2012 yang lepas. Program ini dijalankan secara berkala demi menjaga kebersihan kawasan kolej serta mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kolej.

Terdapat beberapa operasi utama yang dijalankan pada hari tersebut termasuklah operasi poster, operasi monyet, mengecat sekitar Dataran U4, membersihkan sekitar blok dan membersihkan bilik-bilik umum di blok masing-masing.

Program gotong-royong seperti ini bertujuan untuk melatih dan menanam sikap cinta akan kebersihan dan kekemasan selaras dengan konsep lestari yang dibawa oleh Universiti Teknologi Malaysia sendiri. Bukan sahaja itu, program sebegini rupa menanam sikap kebersamaan dan bergotong-royong itu seniri supaya mahasiswa-mahasiswa tidak akan terasa kekok apabila bersosial dengan masyarakat kelak.

 

Program Greenday ini secara khususnya telah mencapai objektifnya dengan sambutan menggalakkan daripada warga Kolej Perdana teermasuk staf-staf yang hadir memberi sumbangan tenaga. Pelbagai aktiviti menarik disediakan oleh pihak kolej untuk warga kolej sekalian. Warga kolej perlu merebut peluang-peluang seperti ini demi menjana kemantapan diri seorang mahasiswa.

Gelang Patah Community Services 2012 (GePaCS’12)

Bermula 13-15 April 2012, seramai 62 orang mahasiswa yang terdiri daripada warga Kolej Perdana menjalankan program khidmat masyarakat di Kampung Baru Melayu Wawasan, Gelang Patah. Program yang merupakan usaha sama Kolej Perdana dan Gerakan Belia 4B Gelang Patah ini menarik perhatian orang ramai dengan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan. Memetik kata-kata Pengarah program, saudara Syed Ahmad Adib Hazim, program seperti ini merupakan tanggungjawab sosial mahasiswa terhadap masyarakat.

Program khidmat masyarakat ini dimulakan dengan majlis penyerahan anak angkat kepada 30 keluarga angkat terpilih daripada 3 kampung sekitar. Majlis dirasmikan oleh Ybhg. Ir Hj Mohd Nasir Hashim, Naib Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah yang menyaksikan simbolik penyerahan dengan ibu bapa angkat menyarung kain selimpang kepada semua anak angkat. Pada sebelah malam, program diteruskan dengan ceramah yang berkisar kehidupan mahasiswa dan tanngungjawab terhadap diri dan agama.

Hari kedua diteruskan dengan program khidmat bakti di mana pelajar lelaki membersihkan dan mengecat kawasan tanah wakaf perkuburan manakala pelajar siswi membantu kaum ibu menyiapkan makanan untuk kenduri sekampung dan mengecat serta membersihkan kawasan surau. Seekor lembu telah ditumbangkan pada hari kedua sempena program kenduri sekampung yang diadakan selepas maghrib dan segala persiapan dijalankan secara bergotong-royong.

Pertandingan mewarna diadakan pada petang hari kedua yang dibuka kepada murid-murid tadika kemas dan diikuti dengan acara sukaneka yang melibatkan antara orang kampung menentang mahasiswa. Terdapat 2 acara yang dipertandingkan iaitu bola jaring kain pelikat dan futsal kain pelikat.

Malam kebudayaan dan Perasmian Program disempurnakan oleh YB Datuk Abdul Aziz Sapian, ADUN Nusajaya. Banyak persembahan dipersembahkan kepada warga kampung yang terdiri daripada persembahan mahasiswa sendiri dan persembahan yang disediakan oleh warga kampung. Cabutan bertuah juga disediakan dengan hadiah utama merupakan telefon bimbit berjenama.

Hari terakhir diteruskan dengan program Ziarah Sekampung dan diikuti Majlis Penyerahan Semula Anak Angkat yang disempurnakan oleh Ybhg. En Norhisham Bin Ismail. Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu ayah dan ibu serta 2 lagu iringan.